1.PENDIDIKAN
Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran
Komputer boleh direkabentuk supaya ia dapat membantu pelajar secara individu dan secara berkumpulan. Pelajar akan diajar mengikut kadar dan tahap yang boleh diterima oleh mereka. Ini adalah penting supaya pelajar tidak tercicir dan putus asa. Merujuk kepada sistem pendidikan konvensional, kesemua pelajar terpaksa mengikuti sistem yang berlangsung tanpa mengambil kira samada mereka dapat mengikuti pelajaran tersebut. Justeru itu, arahan program dapat memberi peluang terutamanya kepada golongan pelajar “lemah” untuk membaiki kelemahan dia.
Selain itu, pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Trend semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat. Contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer.
Justeru itu, sistem pendidikan perlu membekalkan kemahiran interaksi asas pada awal persekolahan dan menggunakan teknologi maklumat pada masa yang sama. Dengan itu, pelajar mempunyai kemahiran lebihan dan pilihan untuk menggunakan teknologi maklumat atau cara konvensional sesuai dengan keadaan tertentu.
2.PERUBATAN
Membantu Golongan Yang Memerlukan Bantuan Khas
10 daripada 100 orang adalah cacat. Di Amerika Syarikat, 20 juta orang cacat mengalami halangan dalam kehidupan harian mereka(Meyer, 1999). Bagi golongan ini, teknologi maklumat terutamanya komputer memainkan peranan yang penting dalam memberi kebebasan kepada mereka. Contohnya kewujudan program yang berupaya membaca teks dapat membantu orang buta berkomunikasi tanpa bantuan keluarga, rakan-rakan dan pekerja lain atau mesin rekod suara.
Selain itu, komputer juga memberi peluang sosial baru kepada orang cacat melalui penggunaan internet, irc serta icq dan lain-lain program. Mereka tidak perlu pergi ke kawasan bandar untuk bertemu atau berkenalan. Mereka juga tidak perlu melalui pengalaman pahit di dalam bandar yang tidak direka untuk mereka. Di samping itu, terdapat rangkaian yang dikhaskan untuk mereka berkenalan dan bergaul dengan golongan yang sama di mana sebelum ini tiada seluran yang begini mudah. Mesyuarat boleh dijalankan bila-bila masa asalkan seseorang mempunyai talian telefon, komputer serta modem.
Tele-Perubatan
Dalam keadaan tertentu, pesakit sebenarnya tidak perlu berjumpa dengan doktor. Ini adalah kerana dalam kebanyakan kes, doktor cuma memeriksa pesakit melalui sintom yang diberitahu oleh pesakit sendiri. Justeru itu, suatu program yang menyeluruh dan sentiasa diperbaiki adalah memadai untuk menggantikan tugas sedemikian. Doktor seharusnya menumpukan perhatian dalam kes yang serius yang mana pesakit tidak dapat memeriksa sebarang sintom.
Namun kesahihan sistem sedemikian akan sentiasa dipertikaikan akibat faktor-faktor keselamatan, kepercayaan, psikologi dan sebagainya. Selain itu, kos pelaksanaan sistem sedemikian juga amat tinggi kerana ia perlu sentiasa dinaik taraf dan dinilai bagi memberikan tahap ketepatan dan kepercayaan yang tinggi. Di samping itu, pelaksanaan sistem sedemikian akan menggugat kesenangan golongan buta huruf untuk mendapatkan rawatan biasa memandangkan sistem tersebut cenderung mengurangkan atau menggantikan peranan klinik. Justeru itu, timbul pendapat bahawa ia hanya sesuai untuk tujuan farmasi sahaja di mana pesakit telah diberikan diskripsi ubat; dan menggunakan tele-perubatan cuma untuk mendapatkan ubat tersebut.
Walau bagaimanapun, penggunaan Smart Card akan melengkapkan lagi sistem tersebut memandangkan kesemua maklumat peribadi pesakit termasuk sejarah perubatan telah dikodkan. Namun kita tidak harus melihat bidang perubatan ditukarkan kepada sejenis industri. Perubatan sebagai perindustrian akan mencetuskan kesan mental yang buruk terhadap pesakit. Pesakit sebenarnya telah dibebankan dengan persekitaran hospital yang dipenuhi dengan pesakit-pesakit lain. Justeru itu, penggunaan teknologi yang keterlaluan akan menyebabkan hubungan doktor-pesakit hilang, ini akan menjanakan keadaan yang tidak menggalakkan dalam kes kesihatan yang serius.
3.SENI DAN HIBURAN
Digital
Dewasa ini, semakin banyak bahan-bahan ditukarkan kepada bit-bit dalam komputer. Penukaran ini akan mencetuskan perubahan yang besar dalam penggunaan ruang di bandar. Misalnya penduduk bandar tidak perlu berada di sesuatu lokasi tetapi dapat merasai situasi tersebut melalui internet. Kes yang sama berlaku terhadap perpustakaan, apabila lebih banyak teks ditukarkan dalam bentuk bit. Pelajar atau penduduk tidak perlu sampai ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan tersebut.
Penduduk bandar juga tidak semestinya pergi ke panggung wayang atau muzium untuk melihat filem atau khazanah negara. Kesemua ini memberi impak terhadap perancangan guna tanah kawasan bandar. Kesan langsung daripadanya adalah pengurangan dalam isipadu lalulintas yang disebabkan oleh aktiviti tersebut. Ini akan mengagihkan tanah bagi tujuan yang lain misalnya kawasan hijau atau taman-taman yang tidak dapat digantikan oleh teknologi maklumat.
Namun harus diingati bahawa dengan menukarkan bahan-bahan kepada bit-bit. Masalah cetak rompak akan lagi berleluasa. Bahan-bahan yang didigitkan kemungkinan besar akan menjadi tidak berharga. Ini adalah kerana ia boleh disalin dan dikeluarkan semula berkali-kali, berbeza dengan bahan-bahan sebenar yang akan berkurangan kuantitinya apabila digunakan.
Dunia Maya
Ia adalah satu sistem yang mensimulasikan alam nyata (reality). Alam nyata ditayangkan dalam bentuk imej, dalam dunia yang kelihatan seperti dunia nyata. Pengalaman dalam dunia maya bukan hanya menerusi skrin imej tetapi ia sendiri menjadi pengalaman kepada mereka yang berada di dalamnya(Castells, 1999). Kewujudan dunia maya akan membawa perubahan tertentu dalam cara hidup di bandar. Memandangkan ia begitu benar dan kadangkala dapat memuatkan ciri-ciri idealisme yang tidak terdapat dalam dunit nyata. ia merupakan satu ruang yang membolehkan penduduk membuat pilihan samada hendak memilih dunia maya atau dunia nyata untuk menjalankan aktiviti tertentu.
Contohnya seseorang yang ingin keluar bersiar-siar di bandar boleh memilih bandar nyata atau bandar maya. Bagi mereka yang ingin melihat bandar sebagai utopia maka dunia maya mampu memberi satu bandar sedemikian. Namun penggunaan dunia maya bukan hanya terhad kepada hiburan sahaja. Ia menjadi medan ujian bagi percubaan pengalaman yang seakan-akan benar. Misalnya ujian memandu kenderaan boleh dijalankan di dalam sebuah bilik tanpa menggunakan jalanraya sebenar. Dari segi perancangan pula, model-model boleh dihasilkan untuk menguji kesan perancangan terhadap sesebuah bandar. Seseorang boleh mencuba pengalaman di dalam bandar tersebut sebelum pelan susun atur diluluskan. Ini akan menambahkan lagi penilaian pelan tersebut.
4.REKREASI
Dengan wujudnya teknologi maklumat yang membolehkan pemindahan maklumat dengan cepat dan tepat, kebanyakan pekerjaan boleh dijalankan di rumah. Ini bermakna waktu kerja yang lebih bebas serta pendek. Ini adalah kerana seseorang tidak perlu meluangkan masa untuk pergi ke pejabat, tersesak atas jalanraya, makan di luar dan sebagainya. Kesannya masa rekreasi penduduk akan bertambah dan ini akan mempengaruhi penawaran jenis perkhidmatan pada masa depan.
5.PERDAGANGAN DAN PERINDUSTRIAN
Perdagangan Elektronik
Perdagangan elektronik ditakrifkan sebagai penggunaan telekomunikasi atau rangkaian yang luas untuk melaksanakan pemindahan kewangan. Menjelang tahun 2001, gedung membeli-belah berangkai(online shopping) dijangka akan menarik antara $3.5 hingga $6 juta di Amerika Syarikat(Meyer, 1999). Di Malaysia, gedung-gedung seperti Parkson, Sapura, 3Comm dan Biz.st telah menawarkan khidmat beli-belah berangkai. Rasionalnya adalah kadar penggunaan internet yang tinggi akan menggalakkan penawaran sedemikian. Pada tahun 1994, terdapat lebih kurang 500,000 pengguna yang berdaftar dengan Jaring dan TmNet(Star, 31-7-1999).
Dengan berkembangnya perkhidmatan sedemikian pada masa depan, pengguna tidak perlu melangkah keluar dari rumah untuk membeli-belah. Di samping itu, mereka boleh membeli-belah 24 jam sehari tanpa gangguan kesesakan, cuaca dan jurujual yang membosankan. Selain itu, lokasi juga tidak menjadi masalah kerana perkhidmatan yang dibekalkan akan menjamin pembelian tersebut dijalankan dengan senang. Halangan yang wujud cumalah kos penghantaran yang mahal bagi lokasi yang jauh.
Selain daripada aktiviti membeli-belah, rangkaian teknologi maklumat juga membolehkan aktiviti perbankan dan pasaran dijalankan. Ini akan memberi pengaruh yang besar ke atas guna tanah kawasan perdagangan pusat. Dewasa ini, aktiviti tersebut sentiasa berkait dengan kesesakan di lokasi perletakan bank atau bursa saham. Namun dengan adanya rangkaian maklumat yang membolehkan aktiviti tersebut dijalankan dengan selamat maka penduduk bandar dengan sukarela akan memilih rangkaian tersebut berbanding dengan cara konvensional yang tidak berkesan serta membazirkan masa dan tenaga.
Di samping itu, surat elektronik yang semakin tinggi kadar penggunaannya akan memberi pengaruh terhadap perkhidmatan pos serta sistem pengangkutan yang bersabit dengannya. Ia juga mengurangkan penggunaan kertas dan sampul surat. Ini merupakan satu langkah baik ke arah kemampanan hutan di dunia.